suria

Polis Melaka Siasat 29 Kes Ah Long Sejak Januari Lepas

MELAKA: Polis Melaka menyiasat 29 kes melibatkan ceti haram atau 'Ah Long' yang membawa kepada penangkapan 20 orang sejak Januari lepas hingga Jumaat, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Ee Khong Koy.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (AAPW) 1951 iaitu memberi pinjaman tanpa lesen melibatkan penangkapan 13 orang dan kerugian sebanyak RM105,320.

Katanya empat kes lagi disiasat mengikut Seksyen 29AA AAPW 1951 iaitu menjalankan kerja menampal poster membabitkan penangkapan tujuh orang.

"Polis sentiasa melakukan usaha berterusan untuk memerangi sindiket Ah Long ini agar tidak lagi memberi ancaman kepada orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Ceti Haram dan dalam operasi itu kira-kira 2,000 poster ceti haram ditanggalkan Polis Melaka dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Ee berkata daripada jumlah suspek yang ditangkap, tujuh suspek telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 5 (2) AAPW 1951 manakala tiga lagi suspek dituduh menurut Seksyen 29AA AAPW 1951.

Mengulas tentang operasi tersebut, beliau berkata pihaknya akan berterusan menanggalkan poster iklan pinjaman wang haram ditampal di tepi-tepi jalan sekitar Melaka khususnya di taman dan kawasan perumahan.

"Kita juga pernah membuat panggilan kepada nombor telefon Ah Long yang dipaparkan dalam poster pinjaman haram mereka (bagi siasatan), namun tidak menerima respons yang begitu bagus," katanya.

Ee turut mengingatkan agar orang ramai berjaga-jaga dan tidak melibatkan diri dengan membuat pinjaman dengan Ah Long kerana hanya membawa keburukan. - BERNAMA

Artikel Lain