suria

KPDNKK Perkenal Projek 'Transformasi Kiosk' Ke Seluruh Negara Pada 2014

Datuk Seri Hasan Malek.
Datuk Seri Hasan Malek.
Datuk Seri Hasan Malek.

KAJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkenalkan projek 'transformasi kiosk' ke seluruh negara bermula tahun hadapan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, program itu bertujuan memberi landskap baharu kepada gerai tradisional penjaja daripada bahan berasaskan kayu dan zink kepada keluli tahan karat sebagai bahan utama.

"Kita akan menguar-uarkan projek transformasi secara fizikal (transformasi kiosk) ini daripada permulaan 13 kiosk kepada angka yang bergantung kepada permintaan persatuan penjaja," katanya kepada media selepas merasmikan Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung, Kajang pada Jumaat.

Beliau berkata, 13 transformasi kiosk di PP1M Bukit Dukung akan dijadikan sebagai projek perintis bagi program ini yang seterusnya akan dikembangkan ke seluruh negara terutamadi kawasan tumpuan penjaja seperti di pasar malam.

"Harga kiosk ini antara RM5,000 ke RM10,000 sahaja dan ini merupakan pendekatan yang menguntungkan dan berpatutan kepada para peniaga kerana akan menyediakan gerai yang lebih tersusun dan bersih," kata Hasan.

Sementara itu, PP1M adalah program yang ke-16 dan julung kali dilaksanakan di Selangor sejak diperkenalkan pada 2012 yang bertujuan untuk menaik taraf kawasan perniagaan melalui premis yang lebih bersih dan teratur.

"Berbanding pelaksanaan 15 PP1M sebelum ini yang dilaksanakan hasil rundingan dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, PP1M di Bukit Dukung ini adalah program pertama melibatkan kerjasama pihak swasta iaitu Grand Saga Sdn Bhd, syarikat konsesi tol Lebuhraya Cheras-Kajang," katanya.

Hasan berkata, kos keseluruhan projek penaiktarafan kawasan itu dianggarkan RM114,000 dan dikongsi bersama antara kementerian dan Grand Saga. - BERNAMA

Artikel Lain