suria

Kes Dera: Jurukimpal Kereta Ditahan Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang jurukimpal kereta pada Jumaat setelah dipercayai terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang meninggal dunia pada 24 Dis lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata suspek, yang juga bapa tiri mangsa, ditahan di tempat kerjanya di Cheras pada kira-kira 4.25 petang Jumaat.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas bedah siasat berhubung kematian kanak-kanak itu mendapati ada unsur jenayah.

Kanak-Kanak itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur selepas dihantar ibunya pada Sabtu lepas setelah mendapati mangsa mengalami sawan, tubuhnya keras dan tidak sedarkan diri.

Zuraidah Jasman, 31, sebelum ini mendakwa mangsa didera di sebuah pusat jagaan di Kuantan, Pahang ketika dihantar bersama-sama empat lagi anaknya selama tiga tahun.

Ekoran dakwaan penderaan itu, Zuraidah mengambil keputusan berpindah ke ibu kota bersama suami dan anak-anaknya sejak Ogos lepas.

"Polis percaya dengan tangkapan (jurukimpal) ini dapat menyelesaikan kes itu," kata Khairi ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.- BERNAMA

Artikel Lain