suria

Pegawai Imigresen Dipenjara Tiga Tahun, Denda RM10,000 Kerana Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai penyiasat Jabatan Imigresen dipenjara tiga tahun dan didenda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas didapati bersalah bersetuju menerima rasuah RM2,000 tiga tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Abdul Rahim Yusoff, 42, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Jumat selepas menolak permohonan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.

Abdul Rahim yang hadir dengan ditemani isterinya, kelihatan tenang, sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan itu.

Dia didakwa bersetuju menerima rasuah RM2,000 daripada ejen insurans Chuah Choon Mui, sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Chuah yang disyaki melindungi perempuan warganegara China di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya, pada 5 petang, 22 Februari 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah.

Dua belas saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu Abdul Rahim dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain