suria

Pengawal Keselamatan Dipenjara Guna Kad Pengenalan Palsu

KUALA LUMPUR: Tiga pengawal keselamatan warga Filipina dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan orang lain.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Algapur Sampang, 21, Aliza Lahaman, 38, dan Salihin Abnarin, 21, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap, Khamis.

Algapur dan Aliza didakwa menggunakan kad pengenalan palsu manakala Salihin didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Pos Pengawal Mandy Villa, No. 451, Jalan Segambut di sini pada 1.20 pagi Khamis.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian ketiga-tiga tertuduh ditahan sekumpulan anggota dan pegawai penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, yang menjalankan operasi pemeriksaan dokumen di pos pengawal itu.

Hasil siasatan, ketiga-tiganya mengaku tidak memiliki sebarang pengenalan diri yang sah ketika ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada JPN Sulaiman Ghamat manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain