suria

Tiga Lelaki Di Sebalik Pengeboman Di Selatan Thailand

DANOK: Polis Thailand percaya tiga lelaki berada di sebalik letupan yang menggegarkan bandar ini pada Ahad.

Mereka telah mengeluarkan satu rakaman CCTV di saluran TV tempatan yang menunjukkan tiga suspek berada di tempat kejadian sebelum kejadian itu dan melarikan diri dengan motosikal.

Letupan hujung minggu itu telah meengakibatkan banyak kemusnahan termasuklah kenderaan yang terbakar manakala orang ramai berlumuran darah dalam kejadian di bandar sempadan iaitu di Padang Besar dan Sadao.

Sekurang-kurangnya 27 orang cedera dan dihantar ke hospital di tiga bandar dan dua mangsa yang cedera serius telah dikejarkan ke Hospital Haadyai.

Dua jalan utama di sini terjejas, Thanon Tanrattanakorn 1 dan Thanon Tanrattanakorn 2 telah dibuka semula kepada orang ramai tetapi keadaan masih lengang.

Urusan perniagaan berjalan agak perlahan begitu juga untuk perniagaan pub dan karaoke.

Ia bukanlah kesibukan sambutan Krismas biasa yang sering dilihat pada masa lalu dengan parti liar yang berlanjutan sehingga awal pagi.

Jalan-jalan yang biasanya akan dipenuhi dengan kenderaan, kosong semalam.

"Hotel-hotel di sini telah terjejas teruk oleh letupan.

"Tahun-tahun sebelumnya, pada masa ini hotel kami akan penuh ditempah. Kini, mana-mana pelanggan yang secara 'walk-in' boleh mendapatkan bilik," kata pemilik Hotel KPK Kang Phee Keat.

Ong Khoon Seong,57, dari Kedah yang memandu melalui bandar itu berkata walaupun Kementerian Dalam Negeri telah menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak melakukan perjalanan ke selatan Thailand, beliau tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa membekalkan barang-barang kepada peniaga kecil di sana.

"Saya berulang-alik setiap hari untuk menghantar keperluan asas, seperti tisu dan sabun. Saya perlu mencari makan untuk keluarga. Jika saya berhenti, saya akan kehilangan pendapatan harian," katanya sambil menambah telah melakukan pekerjaan tersebut selama empat tahun.

Satu kumpulan ekspedisi yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Yunnan, China, sempat berhenti di tempat kejadian letupan untuk melihat dan kerana rasa ingin tahu.

"Kami mendengar tentang berita ini ketika berada di Yunnan. Kami mengambil keputusan untuk melihat tempat ini kerana kami bagaimanapun akan lalu di sini juga," kata Ketua Ekspedisi Explore Yunnan III Ng Teik Hong, 60, yang mengetuai konvoi kereta dari Johor Baru bagi perjalanan 9,000 km sejak 6 Disember.

Sementara itu, pesta ria merangkap konsert tahunan di bandar ini bermula di sini, Khamis, termasuk persembahan oleh artis-artis tempatan.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri bimbang dengan pengeboman di Danok baru-baru ini memandangkan bandar itu terletak hanya di seberang sempadan dari Bukit Kayu Hitam.

"Saya menasihatkan semua rakyat Malaysia yang ingin pergi ke Danok lebih berhati-hati apabila mereka berada di sana," katanya, Selasa.

Artikel Lain