suria

Padang Kota Lama Tumpuan Orang Ramai Sambut Krismas

GEORGE TOWN: Ribuan pengunjung mula membanjiri Padang Kota Lama, di sini seawal pukul 10 pagi bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2013 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan majlis itu petang Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Antara aktiviti diatur sepanjang hari ini ialah persembahan kebudayaan, pertunjukan artis tanah air, pameran kraf warisan, pameran Tahun Melawat Malaysia 2014, demonstrasi hiasan pokok Krismas, pembuatan kad ucapan dan biskut halia.

Sejumlah 20,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis sambutan Krismas yang pertama kali diadakan di negeri ini dan mereka turut disajikan dengan pelbagai hidangan istimewa Pulau Pinang antaranya laksa Penang, kari kepala ikan, char kuey teow, nasi briyani, mi rebus, cendol dan pasembor.

Di KUCHING, keadaan hujan yang berterusan sejak malam tadi tidak menghalang penganjuran acara rumah terbuka oleh penganut Kristian di sini yang merayakan Krismas hari ini.

Antara kenamaan Kristian tempatan yang menganjurkan acara rumah terbuka mereka termasuklah Archbishop Gereja Anglican Asia Tenggara, Reverend Datuk Bolly Lapok dan Archbishop Kuching, Datuk John Ha Tiong Hock.

Malam tadi, upacara sembahyang khas sempena Krismas diadakan di beberapa buah gereja di sekitar kawasan ini.

Di KANGAR, meskipun tiada penganjuran rumah terbuka dibuat namun amalan kunjung mengunjung antara penganut Kristian masih subur.

Kegiatan perniagaan di Perlis berjalan seperti biasa manakala ada penduduk memilih hari cuti umum ini untuk mengadakan kenduri kahwin. - BERNAMA

Artikel Lain