suria

Bayi Perempuan Ditemui Di Koridor Flat

GEORGE TOWN: Seorang bayi perempuan ditemui di koridor sebuah flat di Paya Terubong di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata, bayi yang dalam keadaan sihat itu ditemui penghuni flat berkenaan pada 8 pagi.

"Bayi dalam keadaan cukup sifat itu dipercayai dilahirkan beberapa hari lepas dan polis telah membawanya ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Dalam kes lain, beliau berkata seorang kanak-kanak perempuan berumur lingkungan tiga tahun ditemui keseorangan di tapak pesta Sungai Nibong awal pagi Rabu.

Mohd Hatta berkata, kanak-kanak yang dikenali sebagai Jihan itu dipercayai terpisah daripada ibu bapanya dan ditemui pekerja tapak pesta pada 2.30 pagi.

"Setakat ini kita masih tidak menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu dan tiada sebarang dokumen ditemui padanya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kehilangan bayi dan kanak-kanak itu diminta menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain