suria

Polis Tahan Seorang Peserta Himpunan Haram Di Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang peserta perhimpunan haram berhampiran sebuah restoran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru pada Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata perhimpunan itu diadakan di depan Kelab Sultan Sulaiman di sini Jumaat lepas.

"Suspek lelaki yang berusia 24 tahun itu ditahan malam tadi pada kira-kira 11.30 malam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata suspek, yang berasal dari Besut, Terengganu akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 124(B) Kanun Keseksaan kerana menghasut orang awam bagi menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi berparlimen.

"Kesalahan yang serius dan boleh dihukum penjara selama 15 tahun dan polis pada hari ini sedang dalam proses mendapatkan reman suspek di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman Supt Lai Lee Ching berkata suspek merupakan seorang daripada individu yang dikenal pasti berucap di perhimpunan tanpa notis di padang kelab berkenaan.

"Polis kini sedang giat mengesan beberapa individu lain yang disyaki turut terlibat menghasut orang awam menghadiri perhimpunan yang dijangka pada ambang tahun baharu 31 Dis ini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain