suria

Pembantu Rumah Indonesia: Kerajaan Masih Berunding - Ismail

MARAN: Kerajaan Malaysia masih berunding dengan Indonesia berhubung pengambilan pembantu rumah dari negara itu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Mutalib.

Katanya banyak perkara perlu diteliti sebelum isu tersebut boleh dimuktamadkan bagi memastikan mereka yang dihantar bekerja di sini menepati kriteria serta keperluan masyarakat Malaysia.

"Kita mahukan pembantu rumah yang sihat, berkualiti, mahir, berpendidikan serta cergas dan rajin dibekalkan ke negara ini bagi mengekang sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan dan meraikan 240 pelajar dari kawasan Parlimen Maran yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Mengulas perkara lain, Ismail berkata kerajaan memerlukan kira-kira enam juta pekerja mahir menjelang 2020 untuk menampung pasaran pekerjaan di negara ini.

Katanya daripada 13.2 juta tenaga kerja di negara ini, hanya 28 peratus atau 3.6 juta sahaja pekerja mahir dengan kira-kira 1.4 juta daripadanya berkhidmat dalam sektor awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain