suria

Gangguan Perkhidmatan KTM Intercity Sektor Pantai Timur

KUALA LUMPUR: Beberapa perkhidmatan KTM Intercity sektor Pantai Timur mengalami gangguan hari ini susulan kejadian satu daripada 10 gerabak tren membawa 437 penumpang, tergelincir di Km 274 antara Merapoh dan Chegar Perah malam Isnin.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden 11 malam itu ketika tren penumpang No.29 Ekspres Wau terbabit dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur, kata Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad dalam kenyataan pada Selasa.

"Gerabak yang tergelincir telah dialihkan dan kerja membaik pulih landasan sedang dijalankan dan dijangka siap lewat petang ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu perkhidmatan tren KTM Intercity yang mengalami gangguan ialah tren No.29 Senandung Wau (Tumpat-Kuala Lumpur), No.28 Senandung Wau (Kuala Lumpur-Tumpat), No.27 Senandung Timuran (Tumpat-Woodlands) dan tren No.26 Senandung Timuran (Woodlands-Tumpat).

Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan tren No.83 Shuttle Tumpat-Gua Musang dan tren No.84 Shuttle Gua Musang-Tumpat turut dibatalkan.

"Pelanggan boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh untuk perkhidmatan yang dibatalkan atau menukar semula tarikh perjalanan," kata KTM yang turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain