suria

Rasuah: Tiga Warga Singapura Dipenjara Sehari

JOHOR BAHARU: Tiga warga Singapura masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin kerana memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan anggota polis trafik pada Oktober lepas.

Segaran Naidu, 58, dan Shaik Mohamed Shaik Zain, 69, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Segaran didakwa memberi suapan RM100 kepada Pegawai Eksekutif Penguat Kuasa SPAD Johor, Asmadi Mat sebagai dorongan supaya tidak mengeluarkan kompaun kerana kesalahan menggunakan kenderaan pelancong dan tidak mempunyai senarai pelancong.

Shaik Mohamed pula didakwa memberi suapan RM50 kepada pegawai penguat kuasa SPAD Johor Safiuddin Badrulhisham supaya tidak mengenakan tindakan kepadanya kerana tidak mempunyai lesen pengendali van pelancong yang sah daripada SPAD.

Segaran didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Oktober, 10.30 pagi di laluan masuk Singapura ke Malaysia manakala Shaik Mohamed pula pada 26 Oktober, 11.35 pagi di laluan keluar kenderaan dari Malaysia ke Singapura, di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Mohamad Haldar juga menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 ke ke atas penduduk tetap Singapura, Goh Siew Guan, 39, selepas dia mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi Koperal Nik Salleh Nik Mat.

Dia memberi sogokan itu supaya anggota polis berkenaan tidak mengeluarkan saman kerana tertuduh memandu melebihi had laju di Km 49, Jalan Johor Baharu-Mersing, Kota Tinggi pukul 12.40 tengah hari, 26 Okt lepas.

Bagaimanapun seorang lagi warga Singapura, Lee Mong Seng, 70, mengaku tidak bersalah memberi sogokan S$200 kepada Pegawai Penguat kuasa SPAD Wilayah Selatan Sahrul Effendy Mohamad supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana menjalankan perkhidmatan awam di Malaysia tanpa permit yang sah.

Warga emas itu melakukan kesalahan berkenaan pada 26 Oktober, 11.20 pagi di laluan keluar Malaysia ke Singapura, di Bangunan Sultan Iskandar.

Mohamad Haldar membenarkan Lee diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000. Pendakwaan bagi kesemua kes dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Ridzuan Abdul Malik manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain