suria

Polis Buru Sindiket Ceti Haram Melalui Nombor Iklan

IPOH: Polis Perak kini memantau dan memburu sindiket ceti haram atau Along melalui nombor telefon pada pelbagai bahan iklan untuk memerangi kegiatan itu secara serius. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata kesemua nombor telefon pada bahan promosi seperti poster, kain rentang dan kad perniagaan kegiatan haram itu akan diselidik untuk mengenal pasti dalang aktiviti tanpa lesen terbabit.

"Seterusnya membuat tangkapan, jika keterangan kuat dan mencukupi kita mengambil tindakan lanjut sehingga mendakwa mereka di mahkamah. Ops Cantas Khas untuk memerangi kegiatan Along atau dikenali sebagai 'Ops Voucer' ini pertama kali kita adakan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata dalam usaha membanteras sindiket ceti haram, pihaknya menghadapi kekangan untuk mendakwa mereka di mahkamah memandangkan kurang kerjasama daripada orang ramai yang menjadi mangsa terutama apabila siasatan dijalankan.

"Apabila mangsa diganggu atau diugut Along, mereka akan datang kepada polis dan buat laporan, bila kita siasat separuh jalan, mereka seolah-olah enggan beri kerjasama, sebab itu jika dilihat nisbah pertuduhan di mahkamah, kita mempunyai sedikit kekangan," katanya.

Maszely berkata Ops Cantas Khas untuk membanteras kegiatan Along di samping menurunkan bahan promosi sindiket terbabit dilancarkan September lepas dan 88 kes diambil tindakan termasuk membuat tangkapan di Perak.

Beliau berkata dalam operasi hari ini dan semalam bersama-sama pihak PBT 1,500 bahan iklan kegiatan ceti haram diturunkan di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Hilir Perak dan Manjung.

"Selalunya memang sukar untuk kita mengambil tindakan terhadap mereka yang menggantung bahan iklan ini dan kebiasaan tiada saksi yang melihat mereka kerana dilakukan pada awal pagi," katanya.

Beliau berkata usaha diperhebat melalui operasi seumpama itu untuk melumpuhkan strategi pemasaran sindiket haram terbabit kerana tanpa iklan, kegiatan terancang pihak tidak bertanggungjawab itu, sukar mendapat pelanggan.

Selain itu, beliau berkata anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh turut mendedahkan sindiket berkenaan menggunakan air kencing dibungkus dalam uncang plastik yang dilihat seolah-olah seperti minuman teh serta digantung bersama-sama bahan iklan mereka.

Ia adalah satu tindakan untuk menyukarkan tugas dan operasi penguat kuasa menurunkan bahan iklan yang digantung, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain