suria

MCA Lulus Tujuh Resolusi Tingkat Pembangunan Parti, Rakyat

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-60 yang berakhir di sini Ahad, meluluskan tujuh resolusi merangkumi 13 perkara di bawah usul hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan, perlembagaan persekutuan, tadbir urus kerajaan, serta masyarakat dan kualiti hidup.

Resolusi berkenaan yang diumum Speaker Datuk Yik Phooi Hong dan diluluskan sebulat suara oleh 1,258 perwakilan itu antaranya menyebut semua anggota MCA perlu bersatu padu bagi menyokong sepenuhnya barisan kepimpinan baharu dalam menjalankan pembaharuan dan transformasi untuk meraih semula sokongan rakyat.

Bagi isu politik, perwakilan mengecam segala bentuk perkauman dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan atau mencetuskan kebencian antara kaum.

Berhubung isu ekonomi, perwakilan menyatakan sokongan terhadap beberapa langkah kerajaan antaranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan merasionalisasikan subsidi sebagai sebahagian usaha dalam proses transformasi ekonomi.

Bagaimanapun bagi GST, perwakilan meminta agar kadar enam peratus dikekalkan untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Selain itu perwakilan menyeru kerajaan melaksanakan dasar berdasarkan merit kerana ia adalah satu cara yang berkesan untuk menarik bakat dan membendung pengaliran keluar pakar.

Mereka turut menyeru kerajaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam kewangan supaya defisit negara dapat dikurangkan.

Bagi isu pendidikan pula, kerajaan diminta melaksanakan Sijil Peperiksaan Bersepadu dan mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan arus perdana di Malaysia.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga digesa lebih telus dalam syarat kemasukan ke universiti tempatan selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berdaya saing tinggi.

Dalam aspek Perlembagaan Persekutuan pula MCA mempertahankan perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, selaras dengan Perkara 12 (1), tidak akan ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, bangsa, keturunan atau pun tempat lahir.

Selain itu, bagi resolusi berkaitan tadbir urus kerajaan, MCA menyokong jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk mengkaji penyelewengan dalam sistem tadbir urus kewangan yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

MCA turut menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti di semua agensi awam untuk menambah baik pematuhan prosedur selaras dengan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membanteras penyalahgunaan kuasa dan menghapuskan gejala rasuah.

Dalam aspek masyarakat dan kualiti hidup pula MCA meminta Kementerian Dalam Negeri meningkatkan langkah pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang untuk menambah baik persepsi masyarakat terhadap mutu perkhidmatan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain