suria

Letupan Di Danok: Saksi Lihat Kereta Terbakar, Orang Ramai Cedera

Keadaan kereta yang terbakar akibat letupan bom.
Keadaan kereta yang terbakar akibat letupan bom.
Keadaan kereta yang terbakar akibat letupan bom.

BUKIT KAYU HITAM: Banyak kenderaan hangus terbakar dan dapat dilihat beberapa orang berlumuran darah ketika seorang pelancong iaitu Douglas Alexis menghampiri tapak di mana sebuah bom kereta meletup di Danok, sempadan Malaysia – Thailand.

Alexis berkata, terdapat sebuah jip yang terbakar dan letupan itu telah menyebabkan tingkat bawah Hotel Oliver yang menempatkan beberapa kedai rosak teruk.

"Terdapat lima hingga enam orang terbaring di atas tanah di luar hotel," katanya kepada The Star.

Alexis, yang ketika itu dalam kunjungannya ke Danok untuk melawat isteri dan anaknya yang tinggal kira-kira satu kilometer di Roi Phat berkata, dia sedang berjalan dengan rakan-rakan kira-kira 200 meter dari hotel pada waktu tengah hari apabila dia terdengar bunyi kuat dan sesuatu seperti letupan mercun.

"Pada mulanya saya fikir ia adalah bunyi tembakan, kerana terdapat kawasan sukan menembak terletak berdekatan.

"Bagaimanapun, apabila saya pergi lebih dekat saya melihat bangunan hotel dan kawasan sekitarnya rosak teruk dan ada asap berkepul-kepul memenuhi kawasan," katanya.

Alexis, 35, yang menjalankan perniagaan pengangkutan di Pulau Pinang itu merasakan terdapat letupan yang berlaku. Apatah lagi dia berada di tengah-tengah kawasan yang pernah berlaku kejadian letupan hotel Lee Garden, Haadyai tiga tahun lalu.

Dia berkata, anggota polis tiba di tempat kejadian dengan segera berikutan balai polis terletak berdekatan.

Kawasan di sekitar hotel itu dikawal selama beberapa jam apabila polis dan anggota tentera membuat pemeriksaan untuk memastikan keselamatan di kawasan itu.

Pelanggan di hotel lain yang berdekatan juga telah dipindahkan.

"Kami tidak berada di bawah perintah berkurung, tetapi kebanyakan tempat dan kedai-kedai di kawasan yang terjejas ditutup dan kawalan keselamatan diketatkan. Ia kelihatan seperti kawasan yang di bawah kawalan tentera," katanya.

Alexis berkata, dia bimbang kerana Danok bukan dijadikan sasaran serangan tidak seperti bandar-bandar lain seperti Pattani dan Narathiwat.

Sementara itu, juruteknik eskalator yang hanya mahu dikenali sebagai Keong, 26, berkata, dia sedang mencari kedai untuk menikmati bak kut teh sebagai makanan tengah hari ketika letupan bom berlaku.

"Saya berada tidak sampai pun 100 meter dari mana letupan bom berlaku. Saya merasakan impaknya seperti badan saya ditolak.

"Keadaan begitu bingit dan rasa seolah-olah bergegar," katanya.

Keong dan rakan sekerjanya hanya sempat beberapa minit meletakkan kereta mereka di hadapan Disco Paragon di sebelah hotel itu dan telah membuat pesanan makanan di sebuah restoran di seberang jalan ketika letupan berlaku.

"Saya berpaling dan saya dapat melihat kaca-kaca berkecai dan serpihan bangunan jatuh ke bawah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Keong berkata, pelanggan di restoran dan premis berhampiran berlari keluar ke jalan utama kira-kira 100 meter.

"Saya mendengar ramai orang menjerit tetapi saya tidak melihat mana-mana orang yang tercedera atau terbunuh.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku. Ada yang kata ianya disebabkan oleh kebocoran gas. Polis mengawal seluruh kawasan itu sejurus selepas kejadian berlaku," katanya.

"Saya dan rakan benar-benar bernasib baik kerana menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kedua-dua mereka tiba di Danok pada Khamis lalu menggunakan kereta milik penyelianya bagi menjalankan satu projek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain