suria

Empat Parah Bas Bawa 24 Pengakap Terbabas Di Jalan Tamparuli-Kiulu

KOTA KINABALU: Empat parah manakala 16 lagi cedera apabila bas yang membawa sekumpulan 24 anggota Majlis Pengakap Kelana dari Inanam terbabas dan terbalik di Kilometer 1, Jalan Tamparuli-Kiuli, Tuaran dekat sini, Isnin.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa anggota Pengakap berusia lingkungan 18 hingga 24 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di persimpangan itu sebelum dan terbalik di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Abdul Fuad Abdul Malik berkata 16 penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan manakala empat yang parah dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mereka yang parah berada dalam keadaan stabil. Pemandu bas diminta lebih berhati-hati dan memeriksa keadaan kenderaan bagi keselamatan penumpang," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Bomba Mohd Affendi K. Ramin berkata Balai Bomba Tuaran menerima maklumat pada pukul 6.10 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba semua mangsa sudah berada di luar kenderaan dan bomba mengambil masa lama untuk membersihkan tumpahan minyak di jalan raya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain