suria

Bantu Bumiputera Yang Benar-Benar Memerlukan - Dr Chua

Dr. Chua Soi Lek (kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Najib (tengah) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di Wisma MCA,Sabtu. Foto:BERNAMA
Dr. Chua Soi Lek (kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Najib (tengah) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di Wisma MCA,Sabtu. Foto:BERNAMA
Dr. Chua Soi Lek (kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Najib (tengah) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di Wisma MCA,Sabtu. Foto:BERNAMA

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk membantu memperkasakan kedudukan ekonomi Bumiputera harus menyasarkan kaum dan kumpulan yang benar-benar memerlukannya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata justeru kerajaan perlu mengkaji semula formula langkah-langkah afirmatif supaya langkah ini tidak dilihat golongan Bumiputera sebagai satu tindakan untuk meneruskan Dasar Ekonomi Baru selepas 40 tahun ia berakhir.

"Ini satu hujah wajar dan meyakinkan bahawa perlu adanya kajian semula tentang langkah-langkah afirmatif ini.

"Di manakah ia telah mencapai keberhasilan dan di manakah ia telah gagal dan mengapakah ia masih gagal meningkatkan status sosial ekonomi masyarakat Bumiputera," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung MCA ke-60 di sini, Sabtu.

Beliau berkata sebarang tindakan afirmatif untuk membantu golongan Bumiputera akan tetap dilihat golongan bukan Bumiputera sebagai memberi manfaat yang lebih berbanding bukan Bumiputera.

Dalam perkara ini MCA juga percaya bahawa pemberian ganjaran yang berterusan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Terdapat juga keperluan untuk mengiktiraf bahawa kita tidak harus melayan masyarakat Bumiputera sebagai kunpulan etnik homogenous atau serba sama.

"Ini kerana terdapat juga jurang ketidaksamarataan di antara orang Melayu atau Bumiputera yang berpelajaran dan kaya dengan miskin termasuklah Bumiputera di Sabah dan Sarawak iaitu untuk membantu mereka yang benar-benar ketinggalan dari segi sosial dan ekonomi," katanya.

Beliau menjelaskan memberikan faedah kepada yang kaya akan mewujudkan rasa marah dan tidak senang kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras tidak akan merungut jika kerajaan ingin membantu mana-mana kumpulan masyarakat yang tidak bernasib baik atau masih jauh ketinggalan dalam serba serbi.

"Begitu juga masyarakat Cina yang berjaya misalnya, mereka tidak harus teragak-agak menghulurkan tangan membantu dan membimbing masyarakat Bumiputera dalam sektor swasta," katanya.

Artikel Lain