suria

Pelajar Malaysia Dan Indonesia Diberi Kemudahan Visa 2+2

JAKARTA: Pelajar Malaysia dan Indonesia akan diberikan kemudahan visa masuk berulang kali bagi tempoh dua tahun campur dua tahun di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua negara pada Khamis.

Kemudahan itu akan melegakan kira-kira 5,000 pelajar Malaysia di Indonesia dan 14,000 pelajar Indonesia di Malaysia memandangkan mereka kini boleh memohon visa bagi tempoh dua tahun sekali gus dan ia boleh diperbaharui setiap dua tahun.

Pada masa ini, mereka diberikan visa untuk tempoh setahun dan ia perlu diperbaharui setiap tahun.

MoU mengenai Pas Pelajar dan Visa untuk Program Pengajian Tinggi itu ditandatangani Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh bagi pihak Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Mohammad Nuh di akhir pertemuan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia, yang berlangsung di Istana Merdeka, Kompleks Presiden Indonesia di sini.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Idris berkata MoU itu tertangguh agak lama selepas pemimpin kedua-dua negara sepakat untuk melaksanakan kemudahan itu kepada para negara pelajar masing-masing pada tahun 2006.

Idris berkata persefahaman itu akan dilaksanakan segera.

Selain MoU mengenai pas pelajar dan visa untuk program pengajian tinggi itu, Malaysia dan Indonesia juga menandatangani MoU mengenai kerjasama bidang belia dan sukan.

MoU kedua itu ditandatangani Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi pihak Malaysia manakala Menteri Belia dan Sukan Indonesia Roy Suryo mewakili republik itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain