suria

Kemalangan: Keluarga Simon John Hall Tiba Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Mayat Simon John Hall, antara enam orang yang rentung dalam kemalangan ngeri di Bulatan Kampung Pandan di sini semalam, akan dituntut anggota keluarganya Ahad ini.

Pegawai Penyiasat Polis Trafik Kuala Lumpur Inspektor Azizah Nur Muhamat berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Kedutaan Britain di sini mengenai kemalangan itu semalam untuk disampaikan kepada keluarga Hall.

"Mereka dijangka tiba dari Britain pada Ahad ini untuk menuntut mayat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Hall, 40, pengurus syarikat Leighton Offshore di sini dan warga negara Filipina Siso Aileen, 30, Maileen Tentative Montejo, 26, dan Mary Grace Macaraig, 24, serta dua warga Myanmar yang memiliki pas United Nation High Commissioner for Refugees (UNHCR) dikenali sebagai Pi Pi, 20 dan Ester Sui, 26, maut apabila terperangkap dalam kereta Nissan Skyline yang terbakar dalam kejadian 12.45 pagi itu.

Siasatan awal polis mendapati Hall memandu laju kenderaan itu.

Azizah berkata hanya mayat Hall yang dapat dikenal pasti identitinya berikutan penemuan dompetnya di tempat kejadian selain separuh tubuhnya terbakar. "Hasil bedah siasat sudah selesai dijalankan semalam dan sampel darah semua mangsa dihantar ke Unit Forensik polis untuk mengetahui keadaan mangsa sebelum kemalangan," katanya.

Beliau berkata kenderaan Nissan Skyline pula dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya pihak Suruhanjaya Tinggi Britain, Kedutaan Myanmar dan Kedutaan Filipina di sini memberi kerjasama baik dalam proses pengesahan identiti serta proses tuntutan mayat mangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain