suria

Jangan Politikkan Isu Kenaikan Harga Barangan - Ahmad Bashah

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihati supaya mendapatkan maklumat betul mengenai isu kenaikan harga barangan agar tidak mudah dikelirukan pihak tertentu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata banyak pihak kini dilihat sengaja memainkan sentimen rakyat dengan menggembar-gembur isu kenaikan harga termasuk kenaikan tarif elektrik dan tol.

"Tindakan seperti itu lebih bersifat mengambil kesempatan untuk keuntungan politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Kelantan, di Pusat Transformasi Luar Bandar, di sini Jumaat.

Ahmad Bashah berkata, selain kenaikan harga gula, setakat ini belum ada kenaikan harga barangan lain dilaporkan, termasuk di negeri yang terlibat bencana banjir iaitu di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

"Setakat ini kebanyakan harga barangan seperti biasa dan mengikut harga siling yang ditetapkan.

"Pengurangan subsidi gula umpamanya terpaksa dilakukan kerana dengan itu akan membolehkan kerajaan membantu golongan yang tidak berkemampuan," katanya.

Karnival tiga hari itu bermula Jumaat dengan pelbagai program dan gerai jualan selain taklimat agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain