suria

'Turunkan, Bukan Naikkan Kadar Tol' - BNBBC

PETALING JAYA: Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menggesa kerajaan untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat-peringkat daripada menaikkan kadar tersebut.

Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad berkata, walaupun kerajaan belum mengumumkan sama ada kadar tol akan dinaikkan, mereka harus memenuhi janji pada PRU-13 yang lalu.

"Perkara penting di sini adalah manifesto kita menyatakan bahawa kadar tol akan dikurangkan secara berperingkat dan oleh itu, BNBBC berharap tidak akan ada sebarang kenaikan," kata Shahrir.

Manifesto itu turut menyatakan antara perkara lain yang ditekankan Barisan Nasional (BN) adalah untuk mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat-peringkat' dalam tempoh lima tahun akan datang.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu berkata, tiada sebarang rancangan oleh BNBBC untuk membantah kenaikan tersebut kerana kerajaan masih belum mengesahkan mengenai perkara itu.

"Isu itu masih dibincangkan oleh kerajaan, pemimpin-pemimpin BN yang terdiri daripada Ahli Parlimen di pelbagai kawasan tidak mempunyai pendapat yang sama mengenai perkara ini kerana tidak semua di kalangan kami mempunyai tol di kawasan masing-masing," katanya.

Walaupun pemimpin-pemimpin BN dari Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang mengenai kenaikan kadar tol itu kerana kawasan mereka tidak terlibat, Ahli Parlimen lain, terutamanya mereka yang tinggal di Lembah Klang dan beberapa bandar utama amat bimbang mengenai perkara ini.

Shahrir berkata, pemimpin-pemimpin BN yang menentang kenaikan kadar tol terkesan mengenai isu ini kerana pengurangan kadar tol, terkandung dalam manifesto parti itu ketika menarik pengundi.

"Namun, kita juga menyedari bahawa tidak menaikkan kadar tol akan bermaksud, mungkin ada kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Artikel Lain