suria

Polis Johor Tumpas Kumpulan Samun & Pecah Rumah, Selesai 23 Kes

JOHOR BAHARU: Polis memberkas empat suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 47 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun Teh, pukul 3 petang Isnin lepas.

Dengan penangkapan ini polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 23 kes samun dan pecah rumah membabitkan suspek sepanjang tahun ini, katanya dalam sidang media, di sini, Khamis.

Katanya daripada tangkapan itu polis menemui pelbagai barangan, dipercayai hasil samun kumpulan terbabit selain wang tunai RM5,053.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 23 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun. -BERNAMA

Artikel Lain