suria

Lelaki Warga Emas Antara 13 Orang Ditahan Kerana Bermain Judi

KANGAR: Seorang warga emas berusia 65 tahun adalah antara 13 lelaki ditahan semasa sedang leka bermain judi belangkas di sebuah kawasan hutan di hujung Kampung Guar Syed Alwi, di sini, Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar DSP Ismail Che Isa berkata tangkapan itu dibuat hasil serbuan di bawah Ops Dadu oleh 15 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kangar di sebuah pondok di kawasan itu pada 6 pagi.

Beliau berkata semasa serbuan dibuat, polis percaya terdapat antara 20 hingga 30 lelaki berada di dalam pondok terbabit bagaimanapun hanya 13 orang berumur sekitar 18 hingga 65 tahun dapat ditahan manakala yang lain melarikan diri.

Polis percaya kumpulan berkenaan menggunakan pondok itu untuk bermain judi sejak sebulan lepas dengan menjalankan aktiviti bermula waktu malam hingga ke awal pagi, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Ekoran tangkapan itu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM20,866, mata wang Thailand 20,644 Baht dan dolar Singapura S$5, katanya.

Di samping itu, kata Ismail, polis turut merampas sebuah generator yang digunakan untuk menghidupkan lampu di pondok berkenaan, peralatan bermain judi, kipas angin dan beberapa peralatan lain yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6,000.

"Semua lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari mulai hari ini dan akan didakwa di mahkamah 21 Disember ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain