suria

Lelaki Ditahan Anjur Majlis Peringati Ketua Pengganas LTTE

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan manakala enam lagi diminta menyerah diri kepada polis selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO)yang dianggotai mereka menganjurkan majlis memperingati ulang tahun kelahiran pemimpin kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Kulim, Kedah Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki itu ditahan pada Isnin lepas di negeri itu dan kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata siasatan polis mendapati NGO itu menjemput orang ramai meraikan ulang tahun mendiang V. Prabhakaran, seorang pengganas dari Sri Lanka, dan perbuatan itu dilihat cuba mempengaruhi orang ramai supaya mempercayai kegiatan berunsurkan keganasan.

"Apa kaitan pengganas itu dengan negara kita? Kenapa cuba ajak orang ramai agungkan seorang pengganas? "Kita lihat ini satu tindakan atau cubaan untuk mempengaruhi atau menghasut rakyat agar percaya kepada kegiatan keganasan di negara ini," katanya selepas menerima sumbangan cek bernilai RM30,000 masyarakat Republik Korea Selatan di negara ini untuk pendidikan anak-anak polis daripada duta negara itu di Malaysia, Cho Byungjae.

Khalid berkata polis tidak membenarkan sebarang usaha yang mengagung-agungkan keganasan di Malaysia.

"Saya nasihatkan NGO di negara ini supaya tidak menganjurkan sebarang majlis yang bertujuan menghasut atau mempengaruhi mana-mana kegiatan pemimpin pengganas," katanya.

LTTE melancarkan perang terhadap kerajaan Sri Lanka selama hampir 26 tahun bagi menuntut negara berasingan untuk kaum Tamil di utara negara itu dan pada 2009, gerakan itu dipatahkan oleh tentera Sri Lanka, dan Prabhakaran terbunuh dalam pertempuran itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan PDRM untuk memperluas kawasan penguatkuasaannya yang meliputi lingkungan 5 batu nautika kawasan perairan negara, Khalid berkata ia perlu untuk memudahkan polis melakukan penangkapan dan melaksanakan langkah penguatkuasaan.

"Memang kita memerlukan bot-bot Marin kita untuk jalankan rondaan di kawasan itu kerana banyak isu di kawasan pantai perairan negara yang memerlukan polis untuk menjalankan penguatkuasan seperti kes jenayah termasuk mengebom ikan. "Kita tunggu keputusan kerajaan dan harap ia berpihak kepada kita," kata Khalid. Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kawasan itu kini berada di bawah penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas agensi itu mengambil alih peranan Polis Marin dalam kawasan lingkungan 12 batu nautika perairan negara pada 2011.

Menurutnya permohonan itu bukan untuk mengetepikan peranan APMM sebaliknya bertujuan memudahkan polis melakukan penangkapan dan melaksanakan langkah penguatkuasaan di kawasan 5 batu nautika perairan negara. -BERNAMA

Artikel Lain