suria

Kaji Jika Hukuman Sebat Boleh Sebabkan Hilang 'Kelelakian'

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Dewan Negara mencadangkan supaya kajian dibuat untuk mempastikan sama ada hukuman sebat ke atas pesalah lelaki boleh menyebabkan pesalah berkenaan hilang 'kelelakian'.

Senator Datuk Johari Ibrahim berkata beliau mendengar banyak aduan dan pengakuan, termasuk daripada mereka yang pernah menjalani hukuman itu berhubung perkara berkenaan.

"Kalau (dakwaan itu) betul, ini merupakan satu penganiayaan kepada pesalah berkenaan dan juga isteri jika bekas pesalah telah berkahwin dan mengharapkan zuriat. "Jadi kita kena lihat cara sebatan itu kerana bagi saya hukuman sebat bertujuan untuk mengajar dan bukan untuk menyeksa," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 di Dewan Negara, di sini, Rabu

Dalam isu lain, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mencadangkan supaya mana-mana pihak yang mencemar kedaulatan bendera Malaysia dilucutkan kewarganegaraan dan dikenakan hukuman yang lebih berat sebagai pengajaran.

Beliau yang membahaskan rang undang-undang sama berkata pada masa ini hukuman yang dikenakan belum cukup tegas untuk mendidik pesalah berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui Senator Datuk Noriah Mahad yang juga mahu Kementerian Dalam Negeri turut mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak menghormati nyanyian Negaraku, institusi raja-raja dan sebarang simbol kebangsaan. "Contohnya mengubah corak, terbalikkan lambang, bakar, sehingga ada yang mengibarkan Sang Saka Malaya ketika 31 Ogos lalu," katanya yang turut menolak pandangan Senator Saiful Izham Ramli bahawa perbuatan itu bertujuan mengingatkan rakyat mengenai sejarah hitam negara.

Menegaskan bahawa rakyat tidak perlu mengenang sejarah hitam negara, Noriah berkata Jalur Gemilang sudah diiktiraf, dihormati dan dikenali masyarakat dunia sebagai bendera rasmi Malaysia dan ia tidak seharusnya diganti dengan bendera lain hanya kerana kepentingan politik murahan pihak tertentu.

Kontroversi itu timbul selepas sekumpulan individu didapati mengibarkan bendera alternatif itu pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, di Dataran Merdeka. -BERNAMA

Artikel Lain