suria

Hamza Taib Tegur Media, Gembar-Gembur Serangan Di Sabah

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada Khamis menegur tindakan sesetengah organisasi media yang menggembar-gembur spekulasi negeri itu akan diserang dengan memetik kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya laporan itu bukan sahaja tidak benar, tetapi juga mencetuskan resah dalam kalangan masyarakat.

"Apa yang dimaksudkan Ketua Polis Negara itu ialah kami sentiasa menerima maklumat dan polis sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau tidak sebut (Sabah) hendak diserang," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Sabah, di sini.

Beliau ditanya mengenai desas-desus bahawa beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MLF) mahu menyerang beberapa kawasan di Sabah baru-baru ini.

Khalid ketika diaju soalan itu dalam sidang media di ibu negara beberapa hari lepas, berkata: "Kami ada menerima maklumat itu dan kami bersedia."

Ulas Hamza lagi setiap maklumat yang diterima oleh pasukan keselamatan akan dinilai bagi memastikan kesahihannya. - BERNAMA

Artikel Lain