suria

Anggota MCA Diseru Buang Sikap Sambil Lewa Untuk Jayakan Transformasi Parti

KUALA LUMPUR: Seorang wakil Pemuda MCA Wilayah Persekutuan hari ini menyeru anggota parti itu supaya membuang sikap sambil lewa dan berganding bahu untuk menjayakan transformasi parti.

Chris Wong berkata MCA dilihat lemah bukan kerana tidak mendapat sokongan masyarakat Cina, tetapi kerana wujudnya perbalahan dalaman hingga mengakibatkan berlaku perpecahan.

"Disebabkan pergaduhan dalaman itu, masyarakat turut merasa 'meluat' melihat wujudnya perpecahan. Jadi, untuk kekal kuat, kita perlu hentikan pergaduhan itu dan bersatu," katanya dalam sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-49 di Wisma MCA di sini.

Beliau berkata jika anggota perwakilan MCA terus berdegil dan tidak mahu bersatu, parti itu akan 'tutup kedai' (terkubur).

Isu sama juga disuarakan beberapa perwakilan lain sambil menyeru agar seluruh anggota MCA berusaha menjayakan program transformasi terhadap parti itu yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sesi perbahasan hari ini turut dipenuhi luahan kebimbangan tentang kenaikan kos sara hidup yang bakal dihadapi rakyat, terutama golongan muda yang kebanyakannya berpendapatan sederhana, berikutan peningkatan harga minyak dan kadar tol, cukai pintu serta tarif elektrik.

Wakil Melaka Tee Kai Loon berkata walaupun anggota perwakilan memahami langkah kerajaan itu merupakan cara untuk menambah pendapatan negara, namun kerajaan perlu mencari suatu mekanisme sistematik bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Berkongsi pandangan sama, anggota perwakilan Negeri Sembilan Hon Woei Tatt mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem ekonomi yang lebih mesra rakyat agar mereka tidak hanya bergantung pada Bantuan Rakyat 1Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain