suria

RM10 Juta Baik Pulih Pencawang TNB Terjejas Akibat Banjir

Mahdzir
Mahdzir
Mahdzir

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan kira-kira RM10 juta untuk kerja membaik pulih, pemasangan pencawang baharu serta stesen janakuasa yang mengalami kerosakan di tiga negeri yang dilanda banjir baru-baru ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kos itu juga membabitkan kerja menaik taraf dan menukar alat ganti pencawang yang rosak di Pahang, Terengganu dan Johor.

"Ketika banjir baru-baru ini, sebanyak 1,299 penawang di Pahang terjejas dan tenggelam termasuk pencawang masuk utama Kuantan Utara, kita terpaksa memutuskan bekalan elektrik selama 10 jam kepada lebih 76,000 pengguna seluruh Pahang pada 4 Disember lepas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Anggaran kos pembaikan serta pemasangan baharu pencawang di Pahang berjumlah RM7.7 juta dan selebihnya bagi kos pembaikan di Terengganu dan Johor yang kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan TNB kepada kerajaan negeri di sini, Rabu.

TNB yang diwakili Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasinya, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin menyampaikan sumbangan RM250,000 kepada Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob untuk tabung bencana banjir negeri.

Sementara itu, Mohd Aminuddin berkata sumbangan berkenaan merupakan tambahan kepada RM3.25 juta yang disumbang bagi menyediakan 40 set janakuasa untuk menyalurkan bekalan elektrik sementara ke kawasan yang terjejas banjir di negeri itu.

Menurutnya TNB turut menghulurkan bantuan keperluan harian kepada mangsa banjir seperti beras, minyak masak dan gula berjumlah RM20,000 di pusat pemindahan banjir.

Sementara itu, Adnan berkata sumbangan yang dihulurkan oleh TNB itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang mengalami banyak kerugian.

"Diharapkan bantuan daripada TNB ini dapat membantu mereka, Kerajaan Pusat juga akan memberikan wang ihsan RM500 dan kerajaan negeri akan menambah RM250 lagi dan kita akan lihat jika ada bantuan lain yang boleh kita hulurkan kemudian," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain