suria

Pusat Dialisis Penuhi Syarat Minimum Tidak Ditutup - Subramaniam

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang menutup mana-mana pusat dialisis swasta di negara ini, selagi pusat tersebut memenuhi syarat minimum ditetapkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.S.Subramaniam.

Begitu juga katanya, kerajaan masih 'membuka pintu' bagi pusat dialisis baharu yang dapat memenuhi ketetapan kementerian itu, antaranya mempunyai kemudahan kesihatan dan peralatan serta tenaga pakar yang mencukupi bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dialisis.

"Saya harap ini memberi penjelasan berhubung sedikit keraguan yang wujud dengan pelbagai laporan, seolah-olah kerajaan akan menutup semua pusat dialisis dan tidak akan memberi peluang kepada pusat dialisis baharu. Ia tidak benar. "Semuanya bergantung dalam memenuhi syarat minimum yang ditetapkan kerajaan. Ia penting bagi kebaikan pesakit dialisis itu sendiri," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Katanya, bagi tahun ini hanya tiga buah pusat dialisis ditutup masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor berikutan gagal memenuhi syarat minimum yang ditetapkan.

Dr Subramaniam juga kesal daripada 563 pusat dialisis swasta yang beroperasi di negara ini, hanya 331 pusat (58.8 peratus) mempunyai lesen sah diiktiraf kerajaan, dengan 117 pusat dalam proses memperbaharuhi lesen.

Manakala 115 pusat dialisis lagi yang masih beroperasi, tetapi tidak mempunyai lesen dan kemungkinan besar akan diarahkan tutup selepas pusat dialisis tersebut diberi masa mencukupi bagi memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan.

"Pegawai kita akan melawat pusat-pusat dialisis tersebut dan menilai tahap dan kedudukan mereka dari segi mememuhi syarat minimum yang ditetapkan. "Kalau mereka tidak mahu memohon lesen dan tidak memenuhi syarat, kita tidak ada pilihan lain, selain meminta mereka menutup pusat itu," katanya.

Begitu juga lesen bagi 77 buah pusat dialisis tidak dapat diluluskan kerana terdapat kekurangan dalam memenuhi syarat dan ketetapan minimum kementerian.

Menurutnya mulai tahun hadapan, kerajaan akan menggalakkan kaedah rawatan 'peritoneal dialysis'(PD) yang begitu popular di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Hong Kong, Singapura dan Thailand.

Jelasnya, kemudahan pusat dialisis kerajaan dan swasta mencukupi untuk merawat sebanyak 26,404 pesakit dialisis di negara ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain