suria

Pekerja Kontrak Di NBCT Maut Dihempap Kontena

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kontrak pelabuhan maut akibat dihempap kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Selasa.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa Shahidi Asyraf Zainal Abidin, 27, maut di tempat kejadian setelah cedera parah pada bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika kontena yang sedang dialihkan menggunakan kren dari sebuah treler ke atas kapal terjatuh dan menghempap mangsa," katanya kepada pemberita di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata siasatan kes itu masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Faizul Mansor, 29, berkata Shahidi ada memaklumkan untuk membawa keluarganya bercuti ke pulau Langkawi, Kedah dalam musim cuti sekolah ini.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan arwah ketika makan malam Isnin.

"Kami tinggal bersama di rumah ayah saya di Tasek Gelugor, dekat sini. Arwah memang seorang yang baik hati dan amat rajin bekerja sejak kebelakangan ini.

"Arwah pernah menyatakan hasratnya untuk mencari kerja lain yang tetap demi kesenangan isteri dan anaknya," katanya ketika ditemui di HSJ. - BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain