suria

PAC Bantu PDRM Dapatkan Lebih Peruntukan Logistik

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan lebih peruntukan kewangan daripada kerajaan untuk meningkatkan keupayaan logistiknya.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memaklumkannya tentang keperluan mengemas kini sistem teknologi maklumat serta logistik PDRM.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Nur Jazlan berkata antara isu yang perlu diberi perhatian ialah kereta peronda polis yang majoritinya sudah uzur dan memerlukan perbelanjaan tinggi untuk disenggara. "Bayangkan masih ada pasukan peronda polis yang menggunakan Proton Saga lama dan ia sedikit-sebanyak pasti menjejaskan operasi kawalan keselamatan.

"Saya dimaklumkan lebih 60 peratus kereta peronda polis sudah tamat tempoh atau dalam kata lain sudah uzur," katanya.

Nur Jazlan berkata Khalid memaklumkan bahawa PDRM akan mengambil alih operasi Perkhidmatan Panggilan Kecemasan (MERS) 999 yang akan diintegrasikan dengan sistem Unit Perintah Kawalan Komunikasi dan Integrasi Komputer (C41) yang dimiliki polis.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata beliau turut membangkitkan isu kurangnya kawal selia dan penguatkuasaan ke atas syarikat kawalan keselamatan.

"Bagaimanapun, masalah berkenaan sudah diatasi apabila kerajaan meluluskan permohonan PDRM untuk menambah perjawatan anggota khusus bagi melakukan penguatkuasaan terhadap syarikat kawalan keselamatan serta senjata api berlesen," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain