suria

Kerajaan Tidak Abai Keperluan Sekolah Luar Bandar Di Sabah - Kamalanathan

Kamalanathan
Kamalanathan
Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di mana-mana sekolah di Sabah, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.

Beliau berkata kementerian juga menggunakan sebaik-baiknya peruntukan yang disediakan kerajaan, malah setakat ini membelanjakan kira-kira RM168 juta, bagi tujuan penyelenggaraan 521 sekolah di negeri itu.

"Cumanya proses tersebut mengambil masa untuk pastikan pembangunan infrastruktur dapat diperkasakan dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bagi perhatian serta-merta kepada sekolah yang benar-benar memerlukan," katanya pada persidangan Dewan Negara Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Dr Lucas Umbul yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memenuhi keperluan kemudahan infrastruktur di sekolah-sekolah daif luar bandar di Sabah.

Kamalanathan berkata terdapat 1,285 buah sekolah di seluruh Sabah yang terdiri daripada 700 buah sekolah rendah dan 585 sekolah menengah yang sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dalam pelbagai aspek.

Katanya bagi memastikan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan di sekolah-sekolah terlibat dilaksanakan mengikut jadual, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Sarawak akan diberi kuasa untuk memantau serta menyelaras projek pembangunan sekolah di peringkat negeri masing-masing.

"Setakat ini kerjasama yang kita dapat daripada kerajaan negeri amat baik dan kita dapat perbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kementerian dalam memenuhi setiap keperluan yang diperlukan," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2014 Oktober lepas, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM54.6 bilion dan daripada jumlah itu, RM831 juta akan dibelanjakan bagi membina 33 sekolah baharu dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah usang di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain