suria

Kanak-Kanak Perempuan Dikhuatiri Lemas Seminggu Lalu Masih Belum Ditemui

KOTA BAHARU: Usaha mencari seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas di sebatang anak sungai di Kampung Johar, Kuala Krai sejak seminggu lalu, masih diteruskan.

Ketua operasi mencari, Pegawai Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Razak Harun berkata usaha mencari dan menyelamat Noralia Nadirah Rahim yang kini masuk hari ketujuh dijangka diperluas sehingga ke Sungai Kelantan di sini.

"Ia kemungkinan akan diteruskan hingga ke Sungai Kelantan berhampiran Pasaraya Tesco, Kota Baharu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Razak berkata operasi itu turut disertai 20 anggota daripada Unit Skuba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung. Khamis lalu, kanak-kanak itu dikatakan terjatuh ketika cuba membasuh tangan di sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di kampung tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain