suria

Ahli Parlimen BN, Pembangkang Gesa Kerajaan Tangguh Kenaikan Tol

Irmohizam
Irmohizam
Irmohizam

PETALING JAYA: Penggubal undang-undang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menggesa kerajaan menangguhkan kenaikan tol yang dicadangkan sehingga kajian selanjutnya dijalankan ke atas perkara itu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sebarang kajian semula kadar tol harus ditangguhkan selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan dan berkaitan untuk memastikan kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat.

"Dalam saat-saat seperti ini, kerajaan perlu memberikan sekurang-kurangnya enam bulan kepada rakyat untuk menangani kenaikan lain dalam kos sara hidup. Adalah perlu untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu kerana ia akan membebankan orang yang berpendapatan rendah," katanya, Selasa.

Irmohizam yang merupakan salah seorang anggota Majlis Tertinggi Umno berkata insentif khusus perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah supaya mereka boleh berdepan dengan kenaikan tol.

"Mesti ada pelan yang betul kerana kerajaan baru sahaja menarik balik subsidi gula dan kenaikan tarif elektrik akan berlaku. Faktor-faktor ini perlu diambil kira," katanya.

Tarif elektrik naik antara 15 dan 18 peratus bermula bulan depan.

Ahli Parlimen Tebrau (MCA) Khoo Soo Seang berkata ramai ahli Parlimen BN tidak berpuas hati dengan kenaikan harga yang telah diumumkan pada masa yang hampir sama.

"Kerajaan perlu mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan. Sebagai penyokong kerajaan, kita perlu berdepan dengan rakyat dan menjelaskan kepada mereka secara terperinci. Memanjangkan tempoh konsesi tol mungkin kurang membebankan untuk rakyat berbanding kenaikan tol serta-merta," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar tol.

"Rakyat baru sahaja diberitahu bahawa mereka akan membayar lebih untuk petrol, gula dan elektrik dan tidak lama lagi mereka perlu membayar lebih untuk tol.

"Kajian semula perjanjian konsesi tol perlu dibuat untuk meregangkan tempoh pembayaran balik," katanya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng (DAP) berkata perlu ada cara lain bagi kerajaan untuk memperoleh hasil pendapatan.

"Mereka harus melihat cara contohnya seperti mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas golongan kaya dan berpendapatan lebih tinggi," katanya.

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain