suria

Tindakan Akan Diambil Terhadap Penganjur Protes DBKL - KPN

Khalid Abu Bakar.
Khalid Abu Bakar.
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Tindakan akan diambil terhadap penganjur yang mengadakan protes berhubung kenaikan cukai taksiran yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bantahan itu dihadiri kira-kira 500 pemilik harta, tetapi tiada tangkapan yang dibuat.

"Tunjuk perasaan atau perhimpunan dianggap menyalahi undang-undang. Jika pihak penganjur melanggar undang-undang, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Tiada siapa yang ditangkap setakat ini," kata Khalid pada sidang media di Akademi Polis di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat kerana mereka tidak menerima notis rasmi mengenai perhimpunan tersebut daripada pihak penganjur, yang merupakan peraturan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kami akan menyiasat untuk mengenal pasti pihak penganjur," katanya pada Isnin tetapi enggan mengulas lanjut.

Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut di sini seawal 10 pagi Isnin, disertai oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seperti Teresa Kok (Seputeh), Tian Chua (Batu), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Tan Seng Giaw (Kepong) dan Lim Lip Eng (Segambut).

Semasa bantahan itu, Ahli Parlimen berkenaan menyerahkan 20,000 surat bantahan kepada DBKL daripada para pengundi mereka.

Surat-surat itu diterima oleh Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Terdahulu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menggambarkan perhimpunan di Dataran DBKL itu sebagai sesi "pertemuan rakyat", sebagai pemilik harta Kuala Lumpur bagi membolehkan merekat mengemukakan bantahan ke atas kenaikan cukai taksiran secara terus kepada Ahli Parlimen masing-masing.

Tan berkata, penganjur tidak memberitahu polis mengenai perhimpunan itu kerana mereka merasakan ia tidak perlu melakukan sedemikian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain