suria

Tarif Elektrik Baharu Perlu Untuk Pengukuhan Fiskal Negara - TNB

BANGI: Tarif elektrik baharu yang akan dilaksanakan pada 1 Januari ialah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Azman Mohd.

Beliau berkata syarikat utiliti itu membelanjakan sekurang-kurangnya RM6 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan modal dan penyenggaraan infrastruktur.

"TNB hanya merupakan penyalur. Kami ialah ejen pengumpul.

"Kenaikan tarif tidak ada kena mengena dengan kami tetapi kami yang dipersalahkan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan memoir Tan Sri Ani Arope di sini Selasa.

Berkuat kuasa 1 Januari, purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan naik sebanyak 4.99 sen/kWh kepada 38.53 sen/kWh daripada 33.54 sen/kWh pada masa ini.

Azman berkata kenaikan itu akan menyumbang 18 peratus kepada perbelanjaan modal, peralatan, penyenggaraan dan infrastruktur elektrik baharu sementara 82 peratus akan digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan bakar.

Beliau berkata semakan semula tarif penting untuk TNB membina lebih banyak infrastruktur bagi memastikan kebolehpercayaan dan bekalan elektrik yang berkualiti.

Semakan ini tidak akan menjejaskan 4.56 juta atau 70 peratus daripada pengguna domestik yang menggunakan 300kWh dan menanggung bil bulanan RM77 dan kurang daripadanya setiap bulan.

Rebat daripada kerajaan untuk lebih satu juta pengguna domestik dengan bil bulanan RM20 atau kurang daripadanya akan dikekalkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain