suria

GITP Galakkan Aliran Pelaburan Tempatan & Asing Ke ECER - Najib

Najib diiringi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay (dua, kiri) merasmikan Pelan Pelancongan Integrasi Genting dan Taman Tema Twentieth Century Fox World di Genting Highlands pada Selasa. - FotoBERNAMA
Najib diiringi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay (dua, kiri) merasmikan Pelan Pelancongan Integrasi Genting dan Taman Tema Twentieth Century Fox World di Genting Highlands pada Selasa. - FotoBERNAMA
Najib diiringi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay (dua, kiri) merasmikan Pelan Pelancongan Integrasi Genting dan Taman Tema Twentieth Century Fox World di Genting Highlands pada Selasa. - FotoBERNAMA

GENTING HIGHLANDS: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP) akan membantu menangani ketidakseimbangan ekonomi wilayah dalam infrastruktur dan menggalakkan aliran pelaburan tempatan dan asing ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Selain itu, Perdana Menteri berkata projek transformasi bernilai RM5 bilion itu akan menyediakan ketibaan pengunjung dan hasil yang tinggi untuk meningkatkan ekonomi dalam mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

"Saya menjangka pelan transformasi Genting dalam segmen resort bersepadu sebagai penetap trend dan permulaan era baru bagi industri pelancongan di Malaysia.

"Saya percaya semua rakyat Malaysia menunggu dengan penuh harapan untuk melihat dimensi hiburan baharu Genting yang akan membawa kegembiraan kepada pelanggannya," kata beliau semasa melancarkan GITP dan 20th Century Fox World di Genting Grand Hotel di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Pengerusi Genting Malaysia dan Ketua Eksekutifnya Tan Sri Lim Kok Thay dan Presiden Produk Pengguna 20th Century Fox Jeffrey Godsick.

GITP merupakan pelan induk 10 tahun bagi pembangunan, pengembangan, peningkatan dan baik pulih hotel, taman tema dan infrastruktur di Resorts World Genting.

Pelan itu, yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, termasuk pembangunan taman tema pertama 20th Century Fox World bernilai RM1 bilion, yang dijadualkan dibuka pada 2016 serta cadangan penubuhan Genting Premium Outlets.

Najib berkata pelan transformasi Genting, yang merangkumi pembukaan taman tema seluas 10 hektar dan rancangan Genting Premium Outlets kedua di Asia Tenggara, merupakan contoh utama penyertaan sektor swasta di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Di bawah ETP, kami menjangka untuk melihat sektor swasta mengambil alih peranan utama dalam memenuhi sasaran pertumbuhan yang ditetapkan di bawah program ini.

"Daripada hanya menumpukan pada jumlah pengunjung, kita perlu melihat cara-cara meningkatkan hasil pelancongan dan menyediakan produk serta perkhidmatan bernilai tambah untuk meningkatkan perbelanjaan pelancong," kata beliau.

Melangkaui tahun Melawat Malaysia 2014, Najib berkata kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki dan meningkatkan tawaran dan perkhidmatan pelancongan bagi meningkatkan sambungan negara ke pasaran utama.

"Oleh itu, kita akan terus mendapatkan kerjasama syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam perniagaan hospitaliti dan pelancongan untuk bekerja bersama-sama dengan badan-badan kerajaan yang berkaitan untuk memastikan Malaysia meningkatkan daya saing secara keseluruhan dalam industri ini.

"Pada masa yang sama, kita perlu fleksibel, kreatif dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan yang boleh terhasil terhadap kebingkasan industri pelancongan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain