suria

Borang Aduan BPA Boleh Didapati Di 300 Pejabat Pos Seluruh Negara

PUTRAJAYA: Mulai Selasa, Borang Aduan Biro Pengaduan Awam (BPA) boleh didapati di 300 pejabat Pos Malaysia dan Pos Mini terpilih di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai berhubung dengan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low berkata inisiatif ini bertujuan memudahkan orang ramai menyalurkan aduan dan maklum balas berhubung kualiti perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan.

Katanya borang yang siap diisi boleh dihantar kepada Peti Surat 9000, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur untuk penelitian BPA dan tiada bayaran perkhidmatan dikenakan.

Beliau berkata inisiatif ini memberi fokus terhadap langkah membolehkan penduduk luar bandar menyuarakan aduan atau perasaan tidak puas hati mereka berhubung penyampaian perkhidmatan, sejajar dengan hasrat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk memastikan setiap rakyat mempunyai capaian kepada perkhidmatan kerajaan.

"Secara peribadi, saya yakin program ini akan dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan aduan secara holistik dan bertanggungjawab oleh agensi kerajaan," kata Low dalam ucapannya ketika melancarkan inisiatif kerjasama strategik Pos Malaysia-BPA di Jabatan Perdana Menteri di sini Selasa.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatannya kepada rakyat dan bersedia mendengar serta mengambil langkah perlu bagi menangani isu yang dikemukakan kepadanya.

Kata Low, kerajaan bertanggungjawab memberi khidmat kepada mereka yang tidak mempunyai capaian kepada teknologi terkini dan mereka yang lebih selesa menggunakan pejabat pos sebagai saluran komunikasi utama.

"Perkhidmatan pos masih relevan dan memainkan peranan yang amat penting dalam menghubungkan rakyat di seluruh negara. Bagi rakyat yang tinggal di luar bandar, ia merupakan satu-satunya saluran untuk mereka berhubung dengan merentasi sempadan masing-masing," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain