suria

Pemberian Lesen Baharu Pusat Dialisis Dihentikan

Rawatan dialisis buah pinggang memerlukan kos yang tinggi.
Rawatan dialisis buah pinggang memerlukan kos yang tinggi.
Rawatan dialisis buah pinggang memerlukan kos yang tinggi.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan telah menghentikan pengeluaran lesen baharu untuk pusat dialisis dan akan menutup pusat sedia ada yang tidak memenuhi syarat dan membahayakan keselamatan pesakit.

Terdapat kira-kira 560 pusat hemodialisis di seluruh negara yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan firma swasta tetapi hanya 326 memperoleh lesen daripada kementerian tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata, pusat yang gagal memenuhi standard akan ditutup secara berperingkat selepas diberi tempoh secukupnya supaya mematuhi arahan itu.

Kementerian turut akan mencari pusat alternatif bersesuaian untuk penempatan semula pesakit.

"Dua pusat hemodialisis, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Pulau Pinang, telah ditutup baru-baru ini," katanya.

Daripada 234 pusat yang tidak mempunyai lesen, 114 menghadapi masalah struktur, beroperasi tanpa polisi yang sah dan tidak menghantar permohonan untuk mendapatkan kelulusan.

Pemberian lesen kepada 80 pusat ditangguhkan kerana pengusaha tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang dijanjikan manakala 40 pusat lagi tidak mempunyai kakitangan terlatih.

Lesen operasi pusat hemodialisis diperbaharui setiap dua tahun, tertakluk kepada kriteria kementerian.

Pada bulan lalu, The Star menyiarkan kisah pesakit hemodialisis yang pemohonannya untuk mendapatkan kelulusan subsidi kerajaan sebanyak RM600 sebulan ditangguhkan.

Kira-kira 5,000 pesakit buah pinggang baharu didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang peringkat akhir setiap tahun sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

Kira-kira separuh daripada pesakit itu mendapatkan rawatan di pusat yang dikendalikan NGO, memerlukan subsidi rawatan daripada kerajaan.

Dr Jeyaindran berkata, kementerian itu membelanjakan hampir RM45 juta (RM2 juta bagi subsidi untuk dialisis dan RM21 juta bagi subsidi untuk suntikan erythropoietin setiap tahun), tidak termasuk bantuan yang diberikan agensi kerajaan yang lain.

Erythropoietin merupakan hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang dan mengawal pengeluaran sel darah merah.

Beliau berkata kementerian sedang mencari syarikat-syarikat untuk mendermakan mesin dialisis bagi memastikan golongan berpendapatan rendah turut menerima rawatan hemodialisis dengan keselamatan pesakit dipatuhi, seperti yang dilakukan oleh Maybank dan Tabung Haji.

"Kami mempunyai kapasiti untuk sebanyak 1,700 slot dialisis tetapi hanya mempunyai 1,500 mesin dan memerlukan 200 lagi," katanya.

Beliau berkata tajaan daripada NGO adalah selaras dengan seruan Perdana Menteri untuk kerjasama awam-swasta, yang menggalakkan penggunaan sumber secara optimum.

Artikel Lain