suria

Buruh Binaan Warga Indonesia Didakwa Bersubahat Bunuh Rakan Senegara

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia pada Isnin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini atas tuduhan bersubahat membunuh rakan senegaranya, dua minggu lepas.

Arifin Mistar, 44, yang berstatus penduduk tetap, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa bersubahat membunuh seorang lelaki yang dikenali sebagai Hakim di Medan Selera, Taman Angsana Hilir dekat sini antara jam 8 malam hingga 9 malam pada 2 Disember lepas.

Arifin, yang ditangkap pada 3 Dis lepas, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin selain memohon tarikh sebutan bagi penyerahan laporan forensik.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari depan untuk sebutan kes.

Tertuduh diwakili peguam Farhan Read dan Dony Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain