suria

Kes Tembak Di Nibong Tebal: Gambar & Maklumat Akan Diedar

BUKIT MERTAJAM: Pihak polis akan mengedar gambar dan maklumat dua suspek berhubung kejadian seorang mangsa ditembak ketika sedang berjalan seorang diri tidak jauh dari rumahnya di Taman Puteri Gunong, Tasek Mutiara dekat sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata gambar dan maklumat mengenai dua lelaki tersebut yang dipercayai berusia 20 hingga 30 tahun akan diedarkan Isnin ini.

"Apa yang saya boleh maklumkan, kes tembak itu boleh dianggap selesai dengan penahanan dua lelaki beberapa jam selepas kejadian berkenaan pada Sabtu lepas. "Cuma kita akan edarkan gambar dan maklumat dua lagi lelaki bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan. Bila siap semua (maklumat dan gambar) saya akan beri kepada media untuk bantu polis kesan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Amanita bersama komuniti wanita Taman Pauh Jaya, di sini, Sabtu.

Ahad lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah dilaporkan berkata polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 35 tahun beberapa jam selepas kejadian tembakan yang berlaku pukul 9 malam Sabtu itu.

Dalam kejadian itu, mangsa M.Parttippan, 29, dihampiri sebuah Perodua Myvi warna hitam dengan dinaiki dua lelaki yang kemudiannya melepaskan enam das tembakan di mana satu daripada tembakan itu mengenai rusuk Parttippan dan mangsa yang mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum ini, Parttippan pernah ditembak lima bulan lepas dipercayai oleh suspek yang sama tetapi hanya mengalami kecederaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Rahim berkata polis mendapat beberapa petunjuk baharu berhubung kes seorang pemilik restoran yang nyaris maut ditembak dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Taman Inderawasih, dekat sini Rabu lalu.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, pemilik restoran berusia 52 tahun yang memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumah dari restorannya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan, bagaimanapun ia hanya mengenai pintu sebelah penumpang. -BERNAMA

Artikel Berikut

47 Ditahan Dalam Ops Tiong

Artikel Lain