suria

Johor Saran PBT Tubuh Unit Pengangkutan Awam Tahun Depan

JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor menyarankan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menubuhkan unit pengangkutan awam tahun depan untuk merancang penyediaan laluan pengangkutan awam lebih baik kepada orang ramai.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbincangan telah diadakan oleh kerajaan negeri bersama pihak-pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri mahu agar pihak berkuasa tempatan memainkan peranan merangka dan membuat cadangan kepada pihak berkuasa kerajaan pusat seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya tidak berlaku keadaan tidak serasi di antara keperluan rakyat dengan pengangkutan awam yang dibekalkan.

"Kita sekarang ini menyaksikan kepesatan pembangunan di mana banyak bandar-bandar baharu diwujudkan. Nanti kalau tidak merangka, merancang, dan melaksanakan daripada sekarang, masalah itu (pengangkutan awam) akan menjadi lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengundian Rumah Mampu Milik dan Rumah Kos Rendah Untuk Anggota/Bekas Tentera di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini Ahad.

Pada masa sama, SPAD perlu mengambil kira cadangan-cadangan yang diberikan unit pengangkutan awam pihak berkuasa tempatan itu supaya transformasi pengangkutan awam dapat dilaksanakan.

"Di dalam meluluskan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam ini SPAD perlu mengambil kira cadangan-cadangan yang dikemukakan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Ini menurut beliau, dapat menyelesaikan masalah rakyat yang terpaksa membeli lebih daripada sebuah kereta dan dibebani dengan pinjaman bank kerana tiadanya pengangkutan awam disediakan di kawasan tempat tinggal mereka.

"Kita tidak mahu SPAD bukan setakat memenuhi kehendak usahawan yang mahukan lesen tetapi juga memberi tumpuan utama kepada jaringan sistem pengangkutan awam," katanya.

Bagi Iskandar Malaysia, katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Pasukan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) dan pengusaha-pengusaha bas bagi merangka dan melaksanakan penyediaan pengangkutan awam yang efisien kepada orang ramai di kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

47 Ditahan Dalam Ops Tiong

Artikel Lain