suria

Polis Selangor Tambah 1,000 CCTV Tahun Depan

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melihat lebih dekat contoh CCTV yang dipasang di sekitar Shah Alam selepas melancarkan "United Againts Crime Through Eyes in the Sky" dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jumaat. -fotoBERNAMA
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melihat lebih dekat contoh CCTV yang dipasang di sekitar Shah Alam selepas melancarkan
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melihat lebih dekat contoh CCTV yang dipasang di sekitar Shah Alam selepas melancarkan "United Againts Crime Through Eyes in the Sky" dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jumaat. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Polis Selangor akan menambah sehingga 1,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri ini tahun depan selepas 666 buah mula beroperasi secara berperingkat di 15 daerah sejak Januari tahun lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi baharu bagi pemasangan CCTV dengan memberi tumpuan khas kepada kawasan panas.

"Saya percaya dengan penambahan CCTV ini, ia mampu memberi laporan yang lebih analitikal, seterusnya menghalang berlakunya kejadian jenayah.

"Selain itu rakaman video itu juga boleh disimpan lebih daripada sebulan dan ia boleh menjadi bahan bukti kukuh untuk dibawa ke mahkamah bagi sebarang proses pendakwaan kes jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program mencegah jenayah 'United Against Crime Through Eyes In The Sky' di sini, Jumaat.

Khalid berkata Polis Selangor juga menggalakkan individu dan syarikat swasta yang memasang kamera CCTV di premis mereka untuk menyertai sistem perhubungan kamera polis bagi memudahkan sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka dikesan.

Menurut Khalid sebanyak 50 CCTV yang dipasang Januari tahun lepas dilengkapi dengan pembesar suara (speaker) bagi membolehkan interaksi terus antara pihak polis dan orang awam.

"Dengan pemasangan CCTV baharu itu kita harap lebih banyak akan dilengkapi dengan sistem speaker supaya mudah kita pantau kawasan selain mengingatkan masyarakat secara 'live' jika mereka dalam keadaan tidak selamat," katanya.

Khalid berkata pemasangan CCTV baharu itu merupakan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengenai sokongan kerajaan negeri Selangor, Khalid berkata kerajaan negeri diharap dapat menyumbang lebih banyak CCTV bagi membolehkan jenayah ditangani dengan lebih berkesan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain