suria

Polis P.Pinang Rekod Lima Keterangan Bantu Kes Culik Bayi

BUKIT MERTAJAM: Polis merekodkan keterangan daripada lima orang termasuk ibu bapa bayi perempuan berusia tujuh bulan yang dilaporkan hilang dan diculik dari rumah neneknya di Air Itam di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berdasarkan keterangan mereka, polis yakin dapat mengesan dua wanita dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, dua wanita berkenaan telah keluar dari Pulau Pinang tetapi masih berada dalam negara dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Amanita bersama komuniti wanita Taman Pauh Jaya, di sini, Sabtu.

Akhbar hari ini melaporkan bayi berkenaan diculik dua wanita kira-kira 3 petang Khamis setelah mereka mengunjungi rumah nenek bayi itu di Air Itam dengan alasan hendak membawa bayi itu bermain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah dilaporkan berkata nenek itu membenarkan mereka membawa bayi itu kerana beliau mengenali seorang daripada wanita itu yang berumur 43 tahun, tetapi nenek itu mula mengesyaki sesuatu apabila mereka tidak muncul selepas 30 minit.

Abdul Rahim berkata hasil tindakan pantas dan maklumat yang diperoleh polis menahan lelaki berumur 60 tahun di Balik Pulau tengah hari semalam dan menemui bayi berkenaan dalam keadaan selamat. "Lelaki itu memberi kerjasama yang baik dan kita juga rekodkan semua maklumat daripadanya, berikutan faktor usia dan keadaan kesihatannya polis membebaskannya dengan jaminan polis," katanya. "Kedua-dua wanita itu tidak terlibat dengan mana-mana sindiket menjual bayi di negara ini, sebaliknya bertindak sedemikian selepas mendapat peluang untuk menculik dan menjual bayi berkenaan, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Abdul Rahim berkata polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang dikenali sebagai Zuzita Ahmad yang beralamat terakhir di No 214-B, Jalan Tanjong Tokong dan seorang lagi wanita Cina supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata bayi perempuan berkenaan diserahkan semula kepada ibu bapanya selepas ujian DNA dilakukan semalam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain