suria

Ceramah Wan Saiful Di UPM Timbul Kontroversi

Sesi perbincangan diadakan di atas lantai dalam keadaan gelap.
Sesi perbincangan diadakan di atas lantai dalam keadaan gelap.
Sesi perbincangan diadakan di atas lantai dalam keadaan gelap.

PETALING JAYA: Para peserta perbincangan akademik yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis terpaksa duduk di atas lantai dan dalam keadaan gelap selepas tempat yang dicadangkan telah ditutup oleh pihak universiti.

Bagaimanapun menurut UPM ia disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata, kerana penganjur gagal mendapatkan kebenaran untuk acara tersebut.

Majlis itu juga menyaksikan kehadiran ramai anggota keselamatan yang mengambil gambar dan rakaman video, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan selaku penceramah jemputan.

"Apabila kita tengok venue telah ditutup dan lampu telah dimatikan, kami berpindah ke tempat lain yang berdekatan dan duduk di atas lantai dan memulakan sesi.

"Tujuh anggota keselamatan datang untuk mengambil gambar dan juga merakam video. Seorang pegawai keselamatan berjalan di hadapan saya dan meletakkan tripod betul-betul hampir di hadapan muka saya untuk merakam video," kata beliau ketika dihubungi.

Tempat yang pada mulanya dicadangkan ialah di Latar Siswa di Fakulti Bahasa Moden tetapi telah ditukar kepada Kompleks Mahasiswa.

"Saya benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku di sebalik majlis. Saya tidak menjangka terpaksa berucap di atas lantai dan dalam keadaan separuh gelap untuk menjalankan perbincangan," katanya.

Tambahnya kerumitan itu telah menjejaskan ramai pelajar.

"Daripada kira-kira 70 orang, akhirnya cuma tinggal kira-kira 20 orang," katanya.

Wan Saiful juga berkata tidak ada sebab untuk universiti bertindak sedemikian rupa kerana perbincangan bukanlah sesuatu yang kontroversi.

Topik perbincangan adalah 'Ekonomi Pasaran: Sistem Terbaik Untuk Golongan Miskin yang dianjurkan oleh sekumpulan pelajar dari 'Kelas Pencerahan'.

"Saya tidak fikir ia adalah kontroversi sama sekali kerana ia menyokong agenda kerajaan. Saya telah melakukan perbincangan yang sama sebelum ini, malah ketika Perdana Menteri duduk sebagai penonton," katanya.

Sementara itu, jabatan di universiti itu berkata, mereka bertindak mengikut SOP kerana penganjur gagal mendapatkan kebenaran untuk menjalankan acara tersebut.

"Tambahan pula orang luar juga terlibat dalam majlis itu, oleh itu adalah wajib bagi mereka untuk memohon permit. Selain itu, ini bukan kawasan awam," kata Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UPM Nor Mohamad Shakil Hamid ketika dihubungi.

Beliau juga berkata ia juga merupakan SOP untuk pengawal keselamatan hadir dalam perbincangan untuk "mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini".

"Minggu lepas terdapat juga acara yang diadakan tanpa permit dan kita bertindak sedemikian. Jadi ini tidak menjadi isu, betul," katanya.

"Apa yang penting di sini ialah kita masih membenarkan mereka meneruskan perbincangan, hanya tidak di tempat asal," katanya.

Salah seorang penganjur Tarmizi Anuwar, ketika dihubungi bagaimanapun berkata tiada saluran bagi mereka untuk memohon permit kerana kelas ini bukanlah satu 'entiti rasmi'.

"Oleh itu kami tidak mempunyai kuasa untuk mendapatkan kebenaran universiti daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar," katanya.

Beliau berkata Latar Siswa telah dipilih sebagai venue kerana ia merupakan ruang awam yang tidak memerlukan kebenaran.

"Sesiapa sahaja boleh datang dan menjalankan perbincangan di kawasan itu, " katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain