suria

Tipu: Mahkamah Tinggi Perintah Ahli Perniagaan, Rakan Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang ahli perniagaan dan rakannya yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan menipu berjumlah RM143,890, membela diri.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan C.Yoganandha Moorthy, 39, dan Mercy Sumathi Christie, 44, daripada pertuduhan berkenaan.

"Setelah meneliti rekod rayuan dalam kes ini, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua responden dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya membela diri atas sembilan pertuduhan itu," katanya.

Beliau juga memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua responden membela diri dan menetapkan Selasa ini sebagai sebutan kes.

Pada 10 April tahun lepas, Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh melepas dan membebaskan Yoganandha Moorthy dan Mercy selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mereka berdepan enam pertuduhan menipu Wong Yoke Wan, 54, Tew Soo Guan, 32, Kong Shyang Kun, 32, dan Chan Kin Wai, 34, dengan menyerahkan cek yang tidak boleh ditunai bernilai RM93,250.

Cek itu bagi memperdaya mangsa untuk melakukan kerja-kerja pendawaian, membaiki paip, perkhidmatan mengangkat barang dan menyerahkan kunci rumah untuk disewa kepada tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 39, Jalan Langgak Golf Ampang Hilir dan No 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 22 Sept dan 30 Okt 2008.

Bagi tiga pertuduhan lagi, Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa menipu V. Kodivelu, 30, dengan menyerahkan cek bernilai RM50,640 sehingga mendorong mangsa menyerahkan komputer dan peralatannya di No 3, Lorong Ru Kedua Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 14 dan 21 Okt 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Allan Suman Pillai manakala peguam S.R. Srideevi Naidu mewakili Yoganandha Moorthy dan peguam A. G Kalidas mewakili Mercy. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain