suria

Polis Selamat Bayi Mangsa Culik Di P.Pinang

GEORGE TOWN: Polis menyelamat seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang dilaporkan hilang dan diculik dari rumah neneknya di Air Itam di sini, Khamis, setelah menahan seorang warga emas yang dipercayai 'membeli' bayi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki berumur 60 tahun itu di Balik Pulau tengah hari Jumaat.

Katanya bayi berkenaan telah dilapor diculik oleh dua wanita kira-kira 3 petang semalam setelah mereka mengunjungi rumah nenek bayi itu di Air Itam dengan alasan hendak membawa bayi itu bermain.

"Nenek itu membenarkan mereka membawa bayi itu kerana beliau mengenali salah seorang wanita berumur 43 tahun terbabit tetapi nenek itu mula mengesyaki sesuatu apabila kedua-dua wanita itu tidak muncul selepas 30 minit berlalu," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata nenek itu kemudiannya cuba menghubungi suspek tetapi tidak mendapat jawapan dan beliau kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 7 malam.

Mazlan berkata nenek bayi itu mengenali wanita berusia 43 tahun itu kerana mereka pernah bekerja bersama sebagai pengawal keselamatan.

Polis kemudiannya membuat siasatan di kawasan rumah wanita terbabit di Tanjong Tokong dan mendapat maklumat bahawa bayi perempuan itu telah dijual.

"Kita dah tangkap pembeli ini di Balik Pulau untuk membantu pihak polis dan siasatan awal mendapati bayi ini dijual dengan harga RM3,000," katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan suspek yang masih bebas yang dikenali sebagai Zuzita Ahmad yang beralamat terakhir di No 214-B, Jalan Tanjong Tokong.

Katanya suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri dan polis percaya dia sedang berada di luar Pulau Pinang.

"Polis juga sedang mengesan seorang perempuan Cina yang bersama suspek pada hari kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta supaya menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta didenda.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis berjaya menangkap tiga lelaki dipercayai 'pengangkut' bagi sindiket yang membawa masuk 38 warga Myanmar dan Bangladesh di Seberang Perai Utara minggu lepas.

"Kita dah tangkap 13 ahli sindiket. Sindiket ini didalangi oleh rakyat asing. Dua daripadanya sudah didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Beliau berkata polis percaya sindiket itu adalah sindiket penyeludupan warga asing terbesar di utara dan suspek utama sudah dikenal pasti dan gerakan mengesan suspek dipercayai seorang lelaki warga Myanmar sedang diteruskan.

Pada 1 Disember lepas, polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 38 lelaki warga Myanmar dan Bangladesh yang berada dalam keadaan lemah dipercayai kerana tidak diberikan makanan oleh sindiket yang membawa masuk warga asing, di sebuah rumah di Bagan Jermal, Butterworth. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang