suria

Naib Ketua, Exco AMK Didenda RM1,900 Sertai Perhimpunan Di Tempat Larangan

KUALA LUMPUR: Naib Ketua dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat masing-masing didenda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mereka mengaku bersalah menyertai perhimpunan di tempat larangan pada Jun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohd Nazree Mohd Yunus, 29, dan Mohd Alfaizal Amjed, 32, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah Rabu lepas semasa kes itu ditetapkan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Nazree dan Mohd Alfaizal menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Kedua-dua mereka membayar denda itu.

Pada Ogos lepas, mereka didakwa di mahkamah terhadap pertuduhan menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu tempat ibadah di perkarangan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Mohd Nazree dan Mohd Alfaizal memberi ucapan pada perhimpunan itu di pekarangan masjid berkenaan sebelum bersama peserta lain menuju ke Padang Merbok untuk menyertai perhimpunan Blackout 505 anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat.

Mohd Nazree diwakili peguam A. Jeyaseelan manakala Mohd Alfaizal diwakili peguam R. Tirukumaran.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Aini Mohd Nor, Ahmad Ishrakh Saad dan Iznina Hanim Hashim.

Sementara itu, perbicaraan terhadap enam lagi individu termasuk Anggota Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah mereka terhadap pertuduhan sama, bersambung 14 Mac depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain