suria

Kementerian Kesihatan Akan Tambah Pakar Psikologi Klinikal - Dr Subramaniam

Dr Subramaniam
Dr Subramaniam
Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menambah jumlah pakar psikologi klinikal di seluruh negara dalam usaha mempromosikan kesihatan mental yang baik di kalangan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata buat masa ini Malaysia mempunyai kira-kira 100 orang pakar psikologi yang jumlah berkenaan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia sekarang.

"Keputusan ini telah dibuat dalam mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental hari ini selepas mendapat persetujuan sebulat suara oleh semua ahli majlis penasihat berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental yang pertama untuk tahun 2013 ini di ibu pejabat kementerian di sini, Jumaat.

Sejumlah 19 orang dari pelbagai sektor menganggotai Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental bagi tempoh tahun 2013 hingga 2015, antaranya Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye.

Dr Subramaniam berkata penambahan pakar psikologi klinikal itu merupakan suatu keperluan ekoran kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan pada tahun 2011 oleh kementerian mendapati hampir 340,000 (1.8 peratus) penduduk dewasa di Malaysia mengalami masalah kemurungan.

Golongan wanita mengalami kadar kemurungan hampir dua kali ganda (2.3 peratus) berbanding lelaki (1.4 peratus), katanya.

"Selain itu, kementerian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan memberi latihan yang lebih berkesan kepada guru-guru kaunselor di seluruh negara yang bertujuan mempertingkatkan kemahiran dan kepakaran mereka agar mereka memberi khidmat yang lebih berkesan kepada para pelajar.

"Kementerian akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan pada masa yang terdekat ini untuk pelajar dari tingkatan dua hingga empat menjalani ujian saringan kesihatan mental yang memerlukan mereka menjawab beberapa soalan kelak," katanya.

Ujian saringan itu adalah untuk mengenal pasti pelajar yang berisiko tinggi menghadapi masalah mental agar mereka mendapat rawatan yang sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Dr Subramaniam berkata hasil keputusan yang dijalankan kementerian menerusi Program Minda Sihat Sekolah yang dijalankan sejak tahun 2011, daripada sejumlah 19,919 pelajar sekolah yang melalui saringan kesihatan mental, maklumat yang diperoleh sehingga Disember tahun 2012, sebanyak 7.5 peratus pelajar mengalami tanda murung manakala 7.59 peratus menunjukkan tanda mengalami tekanan.

"Selepas intervensi (kaunseling dan rawatan) dilakukan, kementerian mendapati jumlah bagi kedua-dua kategori itu menurun kepada 5.10 bagi masalah murung manakala 5.27 peratus bagi masalah stress.

"Kementerian juga mendapati para pelajar telah menunjukkan tindak balas yang positif serta mencatatkan peratusan yang lebih baik iaitu daripada 28.7 peratus kepada 38.9 peratus selepas intervensi dilakukan," katanya.

Pada tahun 2014, kementerian akan melaksanakan Pelan Publisiti Promosi Kesihatan Mental dengan mesej 'Tangani Stress dengan Berkesan' akan disalurkan menerusi pelbagai platform antaranya media massa, sosial media, kerjasama pintar dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta penganjuran aktiviti pemerkasaan komuniti, katanya.

Katanya ia bertujuan mempromosikan kesihatan mental yang baik di kalangan rakyat Malaysia kerana permasalah kesihatan mental membabitkan semua peringkat umur iaitu peringkat dewasa, remaja dan kanak-kanak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain