suria

Banjir Di Kemaman Pulih, Semua Pusat Pemindahan Ditutup

KEMAMAN: Keadaan banjir di Kemaman pulih sepenuhnya dengan kesemua 324 mangsa terakhir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan di daerah itu, pulang ke rumah masing-masing, Jumaat.

Laporan Bilik Gerakan Banjir Pejabat Daerah Kemaman menyatakan mangsa daripada 77 keluarga itu dibenarkan pulang ke rumah mereka pada 11.45 pagi.

Seramai 150 mangsa daripada 31 keluarga di Pusat pemindahan Dewan Seri Amar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai merupakan kumpulan terakhir yang dibenarkan pulang pada sebelah pagi.

Berikutan itu, Bilik Gerakan Banjir turut ditutup serentak dengan penutupan pusat pemindahan berkenaan.

Sejak banjir melanda daerah ini minggu lepas, pihak keselamatan telah memindahkan hampir 20,000 penduduk dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Sabtu lalu iaitu 19,287 mangsa daripada 4,723 keluarga di 46 pusat pemindahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain